Menyedari potensi ini, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), dengan kerjasama Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd baru-baru ini telah melancarkan akademi Internet of Things (IoT) Samsung di UTeM yang pertama di Malaysia.

Pelancaran akademi IoT Samsung telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh,

Yang turut hadir, Pengerusi, Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr. Ahmad Zaidee Laidin; Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib, Presiden Samsung Malaysia Electronics, Lee Sang Hoon dan Pengarah Korporatnya, Datuk Roh Jae Yeol.

Idris berkata, kerjasama antara UTeM dan Samsung Malaysia sememangnya bertepatan dalam usaha memanfaatkan kepakaran akademik dan industri untuk memacu pembangunan teknologi dan inovasi.

“Ini juga selari dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mana hasrat Kerajaan adalah untuk memanfaatkan ICT dalam meningkatkan kualiti pembelajaran pelajar.

“Saya percaya, akademi ini direka dengan begitu teliti untuk memupuk pencetus inovasi generasi masa hadapan dalam melahirkan graduan berasaskan pengetahuan dan berpendapatan tinggi,”katanya.

Modul latihan di Akademi IoT Samsung diaplikasi dengan sistem operasi dan perkakasan terkini seperti MagicInfo dan Knox, yang beroperasi pada Smart Signage dan peranti mudah alih. Peranti Samsung terkini tersedia dalam modul pembelajaran yang dibangunkan UTeM dan Samsung Malaysia.

Akademi IoT ini dicipta untuk mengoptimumkan pemindahan pengetahuan dalam melatih pensyarah UTeM tentang modul sistem operasi, dan modul ini kemudiannya disampaikan oleh tenaga pengajar UTeM kepada pelajar dan peserta.

Seramai 1,200 pelajar di peringkat kebangsaan termasuk 100 pelajar dari UTeM akan menjadi kumpulan perintis daripada latihan yang bakal dijalankan.

Sementara itu, Shahrin berkata, kerjasama ini dapat meningkatkan nama UTeM dalam melahirkan graduan yang inovatif dan kreatif di negara ini.

“Akademi IoT UTeM-Samsung ini membantu kami merealisasikannya. Kami amat bertuah untuk mendapat akses kepada kemudahan digital untuk meningkatkan pengembangan dan potensi pelajar serta pensyarah kami. Akademi ini juga dibuka kepada pelajar dari institusi pengajian tinggi yang lain serta orang ramai,” katanya.